IPOH: Lebih 300 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan (RPS), di sini, berjaya mengumpulkan sisa elektronik atau e-waste sebanyak 421 kilogram (kg) untuk dijual sebagai bahan kitar semula.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Eco World Project sekolah terbabit yang bermula sejak dua bulan lalu, khusus untuk melestarikan alam sekitar.

Menurut Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Prof Dr Richard Ng, sisa e-waste itu dikumpul serta disumbangkan sendiri oleh para pelajar dan guru sekolah tersebut.

Katanya, e-waste itu kemudiannya akan dijual kepada pihak yang terbabit menguruskan sisa tersebut, menepati slogan 'terbuang menjadi wang'.

"E-waste yang dikumpul di sekolah ini akan dijual kepada Edsha Solution Sdn Bhd iaitu syarikat yang berlesen di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Sejumlah 421kg telah berjaya disumbangkan dengan bayaran sebanyak RM340 setakat ini. Tahniah kepada guru dan pelajar RPS!" katanya ketika ditemui di sekolah itu baru-baru ini.



Pihak RPS akan mengadakan kutipan serupa pada masa akan datang bagi mendidik pelajar tentang cara melupuskan sisa elektronik dengan betul dan mengumpulkannya untuk ditukar dengan wang.

"Hasil jualan itu akan digunakan untuk membeli sebuah televisyen (TV) pintar berukuran 60 inci, berharga kira-kira RM3,700. Kalau tidak cukup, kita akan bantu biayai bakinya.

"TV itu dapat digunakan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut, memandangkan projektor lama sudah uzur.

"Daripada kita mengharapkan sumbangan atau dana daripada orang lain, cara begini sekurang-kurangnya boleh jadi serampang dua mata," kata Ng.



Menurutnya, antara barangan yang paling banyak dikumpul daripada guru dan pelajar ialah telefon bimbit, komputer, mesin pencetak, skrin LCD dan seterika.

"Mungkin sebelum ini ada yang tertanya-tanya mengapa bateri dan lampu tidak boleh ditukar dengan wang? Ini kerana, ia tiada nilai. Kecuali lampu LED, yang ada elemen logam yang boleh diekstrak," jelasnya.

Dalam pada itu, Ng yang juga Presiden Lions Club of Perak Silver State berkata, RPS juga akan menyertai Pertandingan Kutipan E-Waste anjuran MBI dan JAS.

"Ia menawarkan hadiah menarik di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Sebagai Ahli Majlis dan aktivis alam sekitar, saya menyokong usaha murni ini lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar sekolah," katanya lagi.



Memetik kenyataan di laman rasmi Pengurusan E-Waste di Malaysia, e-waste merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi atau lama/usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin hawa.

Laporan itu dipetik sebagai berkata, berdasarkan kajian, dijangka sebanyak 24.5 juta unit e-waste akan dihasilkan di Malaysia menjelang tahun 2025.

Komponen di dalam e-waste mengandungi bahan toksik dan berbahaya seperti merkuri, plumbum, kadmium, arsenik, bromin, berlium, yang akan meresap ke dalam bumi dan sumber air.

Bagi memastikan pelaksanaan sistem pengurusan e-waste yang lestari, penjana buangan (orang awam) adalah bertanggungjawab untuk melupuskan e-waste ke peruncit, pengumpul yang berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan.