Skip to main content

Malaysia

Terengganu adakan sesi libat urus bincang isu kerosakan terumbu karang di Pulau Redang

MERSING, 25 Julai -- Keindahan terumbu karang yang mewarnai perairan Pulau Aur sememangnya memukau pandangan, dengan pelbagai bentuk dan warna yang menghiasi dasar laut di sini.  Namun, keindahan ini hanya dapat dikekalkan jika kita semua bersama-sama memelihara terumbu karang daripada ancaman pencemaran, aktiviti penangkapan ikan yang merosakkan dan kesan perubahan iklim.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kerajaan Negeri Terengganu akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha pelancongan dan agensi berkaitan bagi membincangkan isu kerosakan terumbu karang yang dipercayai berpunca daripada aktiviti melabuh sauh di kawasan larangan. - Gambar hiasan Bernama
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha pelancongan dan agensi berkaitan bagi membincangkan isu kerosakan terumbu karang yang dipercayai berpunca daripada aktiviti melabuh sauh di kawasan larangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan ,Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata perjumpaan itu dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 28 Ogos, bertujuan mengenal pasti permasalahan dan meneliti kelemahan aspek penguatkuasaan.

Beliau berkata, sesi itu bukan sekadar ruang perbincangan tetapi menjadi platform untuk pelaksanaan tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta peraturan.

“Saya memandang serius laporan kerosakan terumbu karang, terutama yang melibatkan bot perjalanan harian atau day trip. Jika dakwaan terbukti benar, perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dikompromi.

“Usaha pemeliharaan oleh kerajaan, badan bukan kerajaan dan komuniti yang mengambil masa puluhan hingga ratusan tahun tidak sepatutnya dimusnahkan demi mengejar keuntungan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, Razali berkata, kerajaan negeri juga akan meneliti cadangan semakan semula kebenaran operasi perjalanan harian atau mengenakan hukuman lebih berat kepada pengendali bot yang ingkar.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha atau operator bot yang didapati mengabaikan prosedur operasi standard yang ditetapkan sehingga merosakkan terumbu karang.

“Pulau Redang adalah khazanah negeri dan aset pelancongan yang perlu dijaga. Semua pihak perlu memikul tanggungjawab memastikan kelestarian alam sekitar di pulau itu, bukannya mengejar keuntungan semata-mata,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement