KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu dilihat mampu menampung bayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi rakyat negeri itu sekiranya royalti minyak dikembalikan oleh kerajaan Pusat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin (Bersatu) berkata, perkara itu boleh dilaksanakan sebagaimana dilakukan kerajaan Sarawak bagi memberi suntikan dan galakan kepada golongan pelajar untuk terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, pendidikan merupakan segmen penting terhadap pembangunan negeri di mana Terengganu terus mencatat kecemerlangan dalam SPM 2022 dengan merekodkan pencapaian gred purata negeri (GPN) 4.59 mengatasi gred purata kebangsaan (GPK) 4.74.

"Kebanyakan pelajar yang menamatkan pengajian di menara gading sudah pasti akan mempunyai hutang dengan PTPTN Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini saya ingin menyarankan kepada kerajaan negeri, apabila keadaan kewangan negeri mengizinkan, kerajaan negeri dapat menanggung 50 peratus bayaran hutang PTPTN bagi rakyat Terengganu.

"Saya tertarik apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak baru-baru ini yang membayar RM90.42 juta hutang PTPTN anak Sarawak. Ini akan mengurangkan sedikit beban hutang dalam kalangan pelajar," katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, pada petang Rabu.

Mohd Husaimi sebelum ini menyatakan perkara tersebut ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa.

Jelas beliau, perincian mengenai cadangan itu akan diteliti berdasarkan kesesuaian dan keadaan ekonomi negeri.

"Sebelum ini saya sudah menyentuh mengenai cadangan berkenaan tanggungan PTPTN anak Terengganu, namun hanya di luar dewan dan kali ini saya bawa cadangan ini ke dalam dewan (DUN) agar ia dapat diteliti oleh kerajaan sekiranya kita mempunyai kemampuan dan ekonomi yang kukuh," ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd Husaimi turut mencadangkan agar pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat menyediakan dana yang sesuai bagi membantu pelajar cemerlang seperti pemberian hadiah kecemerlangan dan tajaan biasiswa terutamanya melibatkan golongan B40.

Dalam perkembangan sama, katanya kerajaan negeri juga disarankan supaya menaik taraf pelajar diploma Tahfiz Quran di Kolej Al-Quran Terengganu (KQT).

"Disamping mahir dalam bidang al-Quran, pelajar-pelajar ini harus didedahkan dengan ilmu semasa seperti Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Jika mereka menamatkan pengajian nanti, mereka mempunyai dua diploma serentak iaitu Diploma Tahfiz serta Diploma TVET.

"Ini akan memudahkan lagi mereka mencari pekerjaan. Dalam hal ini KQT boleh menjalinkan kerjasama dengan Kolej TESDEC," ujarnya. - Sinar Harian