KUALA LUMPUR:Pendakwah bebas, Ebit Lew mendedahkan pihaknya menerima permohonan lebih daripada 42,000 unit tablet dalam tempoh sehari selepas membuat tawaran kepada pihak yang memerlukan, baru-baru ini.

Beliau merujuk kepada tawaran 100 unit tablet untuk diberikan secara percuma kepada mereka yang memerlukan terutama pelajar miskin yang terpaksa mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Permintaan paling banyak ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini ialah tablet. Apabila sesi persekolahan mula dibuka, jadi buat kali pertama saya beli 100 tablet dan tawarkan kepada mereka yang memerlukan.

“Kurang dari tempoh sehari kita terima permintaan yang sangat tinggi... bagaimanapun kita memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan seperti keluarga yang mempunyai anak yang ramai dan sebagainya,” katanya ketika ditemu bual menerusi program Meletop pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ebit Lew mengakui keperitan yang dihadapi masyarakat ketika tempoh PKP khususunya pelajar yang memerlukan gajet untuk proses PdPR.

BACA: Ebit Lew dakwa akan dipenjara 3 tahun sekiranya teruskan bantuan di Sabah

BACA: Tiada halangan untuk Ebit Liew anjur misi bantuan - Pesuruhjaya Polis Sabah


Ditanya bagaimana beliau mampu meneruskan kerja-kerja kebajikan, Ebit Lew memberitahu sentiasa berdoa sejak usia muda agar dapat membantu masyarakat selain turut menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai idola.

“Guru saya ada pesan sentiasa doa agar kita sentiasa dapat menjadi orang yang boleh membantu insan yang memerlukan di luar sana.

“Nabi Muhammad S.A.W memberi manfaat kepada semua manusia... jadi sejak kecil saya terfikir ada tak manusia yang macam ini... membuat kebaikan dan sebagainya... dan saya harap semua anak muda dapat ambil contoh.

"Bila saya belajar kenal tuhan saya tahu bila saya susah saya ada Allah yang bantu dan sayang saya, jadi saya perlu lakukan perkara sama kepada orang lain,” katanya lagi.

Ebit Lew yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan sering bergerak di serata lokasi untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.