SECARA peribadi penulis amat terkesan dengan kata-kata semangat ‘Bukit sama di daki, Lurah sama dituruni’ yang dititipkan China bersama sumbangan alatan perubatan yang dihulurkan kepada Malaysia ketika kita kini sedang berjuang menghadapi gelombang kedua penularan wabak Covid-19. Barisan hadapan kita khususnya kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia berada dalam tempoh yang amat getir, mereka bertungkus-lumus untuk mengekang dan memutuskan rangkaian penularan wabak ini dan pada masa yang sama terus merawat rakyat kita yang telah dijangkiti untuk segera pulih.

Duta China ke Malaysia, Bai Tian semasa membuat kunjungan hormat kepada Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pada Isnin lalu memberi komitmen untuk membantu Malaysia dengan membekalkan peralatan perubatan seperti topeng muka, cecair pembasmi kuman dan lain-lain peralatan penting untuk menangani wabak Covid-19.

Tidak perlu menunggu masa yang lama, China menunaikan segera hasrat murni mereka apabila pada Khamis, kumpulan pertama sumbangan yang terdiri daripada 15,000 topeng muka daripada Bank China Construction (Malaysia) telah diterima kerajaan. Pada semalam (Jumaat) pula, kumpulan kedua bahan sumbangan daripada China telah diterima Malaysia berupa 100,000 keping topeng muka tiga lapis. Ia adalah sumbangan daripada Presiden China-Asia Economic Development Association (CAEDA)

Bai Tian juga turut menyatakan bahawa lebih banyak bekalan sumbangan akan dihantar ke Malaysia yang terdiri dari topeng muka, sut perlindungan dan alat bantuan pernafasan. Malah beliau turut menyatakan dalam masa terdekat sebanyak 3,500 set kit ujian akan diserahkan. Melihat kepada kesungguhan dan keikhlasan yang ditunjukkan China kepada kita, tidak dapat dinafikan meraka amat menghayati maksud peribahasa ‘Bukit sama di daki, lurah sama dituruni’.

Melihat kepada apa yang dilakukan oleh China kepada kita, selain atas pertimbangan hubungan akrab yang sekian lama terjalin erat kedua-dua negara, penulis berpendapat ini juga tanda terima kasih dan membalas budi atas keprihatian Malaysia sebelum ini. Ketika China berada dalam tempoh yang sukar semasa wabak Covid-19 mula merebak dikalangan rakyatnya, kerajaan kita menghantar sumbangan sebanyak 18,000 sarung tangan bagi kegunaan pegawai perubatan di Wuhan, China kerana hospital di sana menghadapi kekurangan keperluan perubatan.

Ketika negara luar dan pelbagai pihak bersusah payah bersama-sama kita untuk mendepani wabak ini, adakah rakyat Malaysia tidak mahu bersama-sama kerajaan dan barisan hadapan memerangai wabak ini? Perkembangan semasa menyaksikan Malaysia kini mencatat bilangan kes Covid-19 yang tertinggi di Asia Tenggara dengan lebih 1000 kes dilaporkan bersama dua kematian. Hari ini pula memasuki hari keempat pelaksanakan perintah kawalan pergerakan untuk membendung peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini dikuatkuasakan, sejak dari hari pertama lagi sudah banyak berita yang kurang enak dikongsikan di media sosial mengenai tingkah laku sebilangan rakyat kita yang buat tidak endah pada larangan ini. Sedarilah bahawa inilah satu-satunya peluang terbaik yang kita ada untuk memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 daripada terus menjangkita rakyat kita. Marilah semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menggalas tanggungjawab dan peranan untuk memastikan penularan wabak ini berjaya dihentikan. Ayuh kita patuh pada arahan yang dikeluarkan Kerajaan dan menjaga kebersihan dan keselamatan diri dan ahli keluarga.



*Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.