KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelakon veteran Kamarozaman Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man yang meninggal dunia petang tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi berkata peminat filem Melayu, khususnya era 1980-an pasti tidak dapat melupakan watak Farouk menerusi filem Gila-Gila Remaja yang dilakonkan Allahyarham sehingga nama watak itu terus terpahat di hati peminat.
βAllahyarham adalah anak seni yang amat disegani, bukan sahaja dalam industri lakonan, malah oleh seluruh pencinta seni tanah air.
βTerima kasih Farouk/Cik Man kerana telah mewarnai dunia seni dan mencipta begitu banyak kenangan indah buat generasi demi generasi. Jasa, sumbangan dan karya mu akan terus hidup dalam ingatan kami,β katanya.
Fahmi turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
Terdahulu, media melaporkan Kamarozaman, yang turut dikenali sebagai Cik Man meninggal dunia petang tadi.
Allahyarham mula dikenali menerusi watak antagonis ikonik ketua Kumpulan Gagak Hitam dalam filem klasik Malaysia Gila-Gila Remaja pada 1986, filem komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) arahan Allahyarham Mamat Khalid serta beberapa filem lain.
-- BERNAMA