GUA MUSANG: Tular pada Sabtu satu video pengguna jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kampung Paloh di sini terkejut dengan kelibat seekor gajah melintas di laluan berkenaan.

Video berdurasi 22 saat mengenai kejadian itu yang dimuat naik oleh ISKK TV menunjukkan seekor gajah sedang melintasi laluan berkenaan dan sudah ditonton oleh 20,000 pengguna laman sosial berkenaan selain dikongsi sebanyak 101 kali oleh pengguna Facebook.

Difahamkan kejadian berkenaan merupakan kali pertama pengguna laluan itu melihat haiwan itu melalui jalan tersebut.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi pada Ahad berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Nasihat saya jika terserempak dengan haiwan itu jangan panik dan elakkan menekan hon.

"Hal ini bagi mengelakkan haiwan itu terkejut dan bertindak agresif sekal igus boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.