[TERKINI] Banjir Hulu Langat: Hujan berterusan, Masjid Sungai Serai dinaiki air
![[TERKINI] Banjir Hulu Langat: Hujan berterusan, Masjid Sungai Serai dinaiki air [TERKINI] Banjir Hulu Langat: Hujan berterusan, Masjid Sungai Serai dinaiki air](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81763968612_masjidsungaiserai.jpg)
Masjid Sungai Serai dinaiki air banjir. - Gambar/ Astro AWANI
HULU LANGAT: Masjid Sungai Serai di Kampung Sungai Serai di sini, dinaiki air lebih satu meter selepas hujan lebat berterusan sejak malam Ahad menyebabkan banjir kembali melanda kawasan berkenaan dengan paras air terus meningkat.
Menurut penduduk, Muhammad Nik Nurman, 21, air mula melimpah ke jalan utama sekitar jam 12 tengah hari sebelum naik mendadak sehingga mencecah paras paha.
“Hujan dari malam tadi tak berhenti. Air naik tinggi dari pukul 12 tengah hari tadi dan ini paras paling tinggi setakat bulan ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI hari ini.
Keadaan dijangka bertambah buruk sekiranya hujan berterusan beberapa jam lagi, memaksa penduduk di sepanjang laluan utama kampung menyelamatkan diri selepas beberapa rumah dilaporkan tenggelam separuh.
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini dibuka di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai bagi menempatkan keluarga yang terjejas, sementara operasi pemindahan giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Cheras menggunakan bot penyelamat dan kenderaan pacuan empat roda.
Selain masjid, beberapa kedai makan berhampiran turut ditenggelami air sehingga paras meja, manakala akses ke premis perniagaan terputus akibat arus deras.
Tinjauan Astro AWANI sekitar jam 2 petang mendapati paras air masih menunjukkan trend meningkat, dengan anggota keselamatan dijangka meneruskan operasi sepanjang hari.
Penduduk dinasihatkan berpindah lebih awal dan mengelakkan melalui laluan yang dinaiki air bagi mengurangkan risiko keselamatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


