KUALA LUMPUR: Sebuah helikopter milik Layang-Layang Aerospace terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport) di Ulu Baram, Sarawak, petang ini.
Helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu dipercayai membawa lima individu termasuk juruterbang.
Difahamkan, pesawat berkenaan merupakan helikopter perkhidmatan doktor udara menggunakan tanda panggilan MEDIC-3 yang membawa pasukan perubatan.
Berdasarkan maklumat awal, helikopter itu dilaporkan terhempas di penghujung landasan sebelum meletup dan terbakar.
Bagaimanapun, keadaan kesemua individu yang berada di dalam pesawat masih belum dapat dipastikan setakat ini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan mengesahkan menerima maklumat mengenai insiden tersebut pada pukul 3.58 petang.
Menurut CAAM, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Siasatan akan dilaksanakan mengikut Bahagian 26 (XXVI) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.