PUTRAJAYA: Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang meninggal dunia pagi tadi pada usia 100 tahun, selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, di sini, hari ini.
Jenazah isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Bertaraf Pembesar Negara sekitar pukul 6.38 petang.
Suasana hiba menyelubungi pekarangan Tanah Perkuburan Islam Presint 20, dengan dianggarkan ribuan hadir menyaksikan perjalanan terakhir Allahyarham ke negeri abadi.
Istiadat Mengusung Jenazah Taraf Persekutuan diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat, bersama lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bacaan doa dan talkin pula dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali.
Seusai jenazah dikebumikan, istiadat diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang daripada pihak kerajaan kepada wakil keluarga sebagai tanda penghormatan negara kepada Allahyarham.
Ia disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd. Shukor Mahmood.
Sementara itu, berkenan berangkat ke istiadat pengebumian tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Turut hadir ahli keluarga termasuk anak-anak Allahyarham iaitu Datin Paduka Marina Mahathir, Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz; wakil kedutaan asing serta orang ramai.
Jenazah Allahyarham Dr Siti Hasmah sebelum itu dibawa dari Institut Jantung Negara (IJN) ke kediaman keluarga di Mines Resort City, Seri Kembangan, sebelum ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk pengurusan jenazah.
Allahyarham Dr Siti Hasmah merupakan tokoh perubatan dan antara wanita yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya dalam bidang kesihatan ibu dan anak.
Pada 1965, anak jati Kampung Jawa, Klang, Selangor itu mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak.
Beliau kemudian mencatat sejarah pada 1974 apabila dilantik sebagai wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Kedah.
Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di IJN pada pukul 9.20 pagi tadi dan meninggalkan tujuh anak.