Ringkasan AI
- Sebanyak 37 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 11 pagi ini.
- Seremban merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 187, diikuti Bukit Rambai (185) dan Pasir Gudang (184).
- Orang ramai, terutama kumpulan berisiko, disaran kurangkan aktiviti luar dan ambil langkah perlindungan susulan jerebu berterusan.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 37 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 11 pagi ini, dengan Seremban di Negeri Sembilan mencatat bacaan tertinggi iaitu 187.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Bukit Rambai di Melaka merekodkan bacaan 185, diikuti Pasir Gudang di Johor (184), Nilai (183), Bandaraya Melaka (183) dan Segamat (183).
Johan Setia di Selangor pula mencatat bacaan 182, manakala Tangkak, Johor merekodkan bacaan 181 dan Tasek Ipoh, Perak mencatat bacaan 180.
Johor kekal antara negeri paling terjejas dengan lapan kawasan mencatat bacaan tidak sihat, termasuk Pasir Gudang, Segamat, Tangkak, Larkin (176), Kluang (175), Pengerang (174), Batu Pahat (169) dan Kota Tinggi (168).
Di Selangor, selain Johan Setia, kawasan lain yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Shah Alam (177), Petaling Jaya (168), Banting (168), Klang (166) dan Kuala Selangor (153).
Perak turut merekodkan lima kawasan dengan kualiti udara tidak sihat iaitu Tasek Ipoh (180), Pegoh Ipoh (174), Tanjung Malim (174), Seri Manjung (159) dan Taiping (125).
Di Wilayah Persekutuan, Batu Muda dan Cheras masing-masing merekodkan bacaan 170, manakala Putrajaya turut mencatat bacaan yang sama.
Sementara itu, Rompin (168), Indera Mahkota Kuantan (161) dan Temerloh (154) di Pahang berada pada tahap tidak sihat, manakala Sungai Petani (156) dan Alor Setar (153) di Kedah turut merekodkan bacaan melepasi paras 150.
Di Pulau Pinang, Minden mencatat bacaan 154, diikuti Seberang Jaya (152) dan Seberang Perai (119), manakala Kemaman, Terengganu merekodkan bacaan 153.
Bagaimanapun, semua kawasan di Sabah, Sarawak, Labuan, Kelantan dan Perlis masih berada pada tahap sederhana.
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.
Orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, disaran mengurangkan aktiviti luar serta mengambil langkah perlindungan sewajarnya susulan keadaan jerebu yang masih berlarutan.