KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan PKOB peringkat daerah di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri bacaan 200.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata susulan keputusan itu kesemua kawasan Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Kimanis dan Politeknik Kota Kinabalu adalah dikategorikan dalam tahap Amaran 1A.
Jelasnya dalam kenyataan pada Rabu, bagi tahap Amaran 1A, antara tindakan yang ditetapkan ialah menghentikan aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti kokurikulum dan sukan, memberikan hebahan kepada orang awam berkenaan bacaan IPU serta langkah berjaga-jaga, meningkatkan penguatkuasaan dan mempergiatkan pemantauan terhadap industri serta tapak pelupusan sampah.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.
“Pelan tindakan mengikut kawasan ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya.
Zainudin berkata pengisytiharan darurat atau bencana jerebu akan dilaksanakan apabila bacaan IPU mencecah 500 dan ke atas. Beliau mencadangkan agar aktiviti rasmi Kerajaan Negeri dibatalkan atau ditangguhkan sekiranya bacaan IPU mencapai atau melebihi 200, manakala aktiviti di dalam bangunan masih dibenarkan.
“Dicadangkan agar pelaksanaan solat hajat diadakan di setiap daerah bagi umat Islam sebagai salah satu usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan.
“Pada masa yang sama, rumah-rumah ibadah agama lain turut disarankan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan yang bersesuaian mengikut kepercayaan dan amalan masing-masing,” katanya.
Ujarnya lagi Kerajaan Negeri juga akan mengesyorkan agar sekolah-sekolah di kawasan yang mencapai bacaan atau melebihi 200 ditutup dan menjalani pembelajaran dari rumah.