[TERKINI] Mangsa banjir terus meningkat, lebih 29,168 dipindahkan di tujuh negeri
![[TERKINI] Mangsa banjir terus meningkat, lebih 29,168 dipindahkan di tujuh negeri [TERKINI] Mangsa banjir terus meningkat, lebih 29,168 dipindahkan di tujuh negeri](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81764218774_banjirkelantan.jpg)
Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 10,424 orang yang kini ditempatkan di 65 pusat pemindahan sementara (PPS). - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri dilaporkan terus meningkat kepada 29,168 orang membabitkan 9,961 keluarga setakat jam 12.39 tengah hari ini.
Ringkasan AI
- Banjir di tujuh negeri Malaysia melibatkan 29,168 orang dari 9,961 keluarga; Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi.
- Perak merupakan negeri kedua paling terjejas dengan 5,323 mangsa dan 44 PPS; Terengganu dan Kedah turut mengalami banjir dengan ribuan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
- Perlis, Selangor, dan Pahang turut terjejas dengan jumlah mangsa yang meningkat; Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan.
Dalam pada itu, Perak menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 5,323 mangsa yang berlindung di 44 PPS di Bagan Datuk, Perak Tengah, Manjung, Hilir Perak, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar dan Muallim.
Terengganu pula merekodkan 3,607 mangsa yang dipindahkan ke 52 PPS di daerah Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kemaman, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu, manakala Kedah mencatatkan 4,325 mangsa di 23 PPS di daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena.
Keadaan banjir di Perlis juga terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa iaitu 3,044 orang daripada 1,103 keluarga membabitkan di daerah Kangar, Padang Besar dan Arau.
Selangor mencatatkan 2,477 mangsa daripada 651 keluarga yang kini berada di 15 PPS di Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan klang.
Sementara itu, Pahang mencatatkan 19 mangsa daripada lapan keluarga kini berada di satu PPS di Kuala Lipis.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan paras air sungai di kawasan berisiko, selain menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan keselamatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


