[TERKINI] Pelajar tingkatan tiga maut ditikam: KPM serah kepada polis dakwaan suspek ada masalah mental
![[TERKINI] Pelajar tingkatan tiga maut ditikam: KPM serah kepada polis dakwaan suspek ada masalah mental [TERKINI] Pelajar tingkatan tiga maut ditikam: KPM serah kepada polis dakwaan suspek ada masalah mental](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/71760442177_TBAZAMAHMAD.jpg)
Mohd Azam menasihatkan orang ramai terutama kepada warga maya supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden membabitkan pelajar di bawah umur. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada pihak polis berhubung dakwaan suspek pelajar lelaki dalam kes pelajar perempuan tingkatan tiga yang maut ditikam di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa, dikatakan mempunyai masalah mental.
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata, KPM yakin siasatan pihak polis akan dijalankan secara telus termasuk mengenai senjata yang dibawa oleh suspek ke sekolah.
“Hal ini masih dalam siasatan polis, saya percaya polis akan menyiasat secara telus dan adil, jadi kita tunggulah laporan polis seterusnya,” katanya dalam sidang media khas mengenai kes berkenaan di Kementerian Pendidikan di sini pada Selasa.
Susulan itu, beliau berkata, KPM menasihatkan orang ramai terutama kepada warga maya supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden membabitkan pelajar di bawah umur.“Saya nasihatkan, kita ada undang-undang, kita ada peraturan, lebih-lebih lagi apabila apa yang berlaku ini melibatkan anak-anak di bawah umur. Kita ada akta yang berkaitan dengan anak-anak bawah umur dan kita perlu kendalikan serta uruskan mengikut akta tersebut. Jadi saya menyeru, kalau masing-masing ada maklumat, sila kemukakan maklumat itu kepada pihak polis,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Ditanya mengenai aspek keselamatan di sekolah, beliau berkata, KPM kini bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh pemantauan di semua sekolah, termasuk meneliti prosedur keselamatan sedia ada.
“Langkah-langkah keselamatan tambahan akan dimaklumkan oleh PDRM bagi memastikan kawasan sekolah benar-benar selamat,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami