MALAYSIA
[TERKINI] Persetujuan bersyarat Hamas hidupkan semula harapan Gaza - PM Anwar
![[TERKINI] Persetujuan bersyarat Hamas hidupkan semula harapan Gaza - PM Anwar [TERKINI] Persetujuan bersyarat Hamas hidupkan semula harapan Gaza - PM Anwar](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/81759585855_AnwarIbrahim.jpg)
Perdana Menteri berkata, langkah itu diyakini mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat Gaza yang kini berdepan penderitaan berpanjangan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan persetujuan bersyarat Hamas terhadap cadangan gencatan senjata sebagai perkembangan penting yang membuka ruang untuk menghentikan perang dan pembantaian di Gaza.
Beliau berkata, langkah itu diyakini mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat Gaza yang kini berdepan penderitaan berpanjangan.
“Ia tentunya perkembangan yang sangat mustahak tatkala ia pastinya akan menjamin serta membuka ruang untuk menghentikan perang dan pembantaian. Saya yakin ia akan memberi sedikit kelegaan buat warga Gaza pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Anwar turut menyambut baik kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menyeru Israel agar menghentikan serangan dan pengeboman demi menjayakan usaha perdamaian.Menurut beliau, kebijaksanaan dan kesabaran amat diperlukan ketika ini bagi menghentikan serangan segera serta mempercepatkan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
“Justeru, aspek dan dimensi yang terpenting saat ini adalah kebijaksanaan dan sikap kesabaran yang tinggi terutamanya untuk menghentikan serangan dalam kadar segera, menjamin tempoh bertenang dan mempercepat serta memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza,” katanya.
Tambahnya, keamanan yang kekal tidak akan tercapai dalam sekelip mata dan perlu dibina secara berperingkat.
“Sementalahan, keamanan yang kekal tidak akan tercapai dalam sekelip mata. Walhasil, ia mesti dibina dengan kesabaran yang jitu, langkah demi langkah, dan kita tidak akan mampu menerima sebarang penangguhan dalam mengakhiri penderitaan warga Gaza. Tragedi sadis yang telah menghentak nurani dunia ini mesti segera dihentikan,” ujarnya.
Anwar turut menekankan peranan penting negara-negara Arab, khususnya Qatar dan Turkiye dalam menjayakan proses gencatan senjata.
“Negara-negara Arab, terutamanya Qatar bersama Turkiye dan dunia Islam khususnya, kini menggalas peranan yang penting dalam memastikan proses gencatan senjata ini berterusan, lantas menghidupkan kembali prospek ke arah penyelesaian politik,” katanya.
Beliau berkata, Amerika Syarikat juga perlu memainkan peranan besar dalam memberi tekanan kepada Israel agar menghormati kewajiban diplomatik.
Anwar memaklumkan, beliau akan menyambut kedatangan Presiden Trump ke Kuala Lumpur pada akhir bulan ini sempena Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang ASEAN-AS.
Beliau berharap pertemuan itu akan membuka ruang dialog segar dalam membentuk dunia yang lebih adil dan damai.
“Saya menanti serta mengharapkan suatu ruang dialog dan wacana yang segar dan terbuka tentang bagaimana Malaysia, bersama rakan-rakan, dapat menyumbang serta membentuk satu order dunia yang adil dan damai yang berkekalan yang tentunya akan mencakup serta menjamin hak rakyat Palestin dan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan bermaruah,” tambahnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami