SABAK BERNAM: Seorang pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) maut selepas tudung dipakainya terbelit pada 'role gate' dalam kejadian di Kunci Air Grand Sabak Hotel di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.35 petang.
"Sebaik menerima panggilan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, komander operasi mendapati seorang wanita berbangsa Melayu terbaring di atas pintu kunci air.
"Siasatan awal mendapati tudung mangsa dipercayai terbelit pada 'role gate' pintu kunci air,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Sabtu.
Ashrul Riezal berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, operasi menurunkan mangsa selesai pada pukul 4.06 petang dan mayat diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.