Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[TERKINI] ‘PM mungkin tidak dapat gambaran jelas’ - Ismail Lasim

Sidang Media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim -- AWANI
Ismail berkata kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan tindakan beliau dan Exco sebagai biadab serta tidak bertamadun semalam mungkin dibuat berdasarkan gambaran yang tidak lengkap mengenai peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam isu berkenaan.
Advertisement

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menghormati keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap institusi diraja, namun menegaskan tindakan beliau bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak bertujuan mengambil alih kuasa Undang Yang Empat.

Ismail berkata kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan tindakan beliau dan Exco sebagai biadab serta tidak bertamadun semalam mungkin dibuat berdasarkan gambaran yang tidak lengkap mengenai peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam isu berkenaan.

Beliau menjelaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sebaliknya, beliau berkata MMKN hanya membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat serta tindakan pentadbiran susulan.

“Persetujuan MMKN terhadap tindakan pentadbiran susulan tidak bermaksud MMKN mengambil alih kuasa para Undang atau menjadi pihak yang membuat keputusan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

“Saya dan barisan Exco tidak akan mencampuri siasatan, pertimbangan adat, atau pemilihan yang terletak dalam bidang kuasa pihak-pihak yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Ismail berkata persoalan berhubung kesahihan proklamasi, pematuhan tata cara dan kesan perlembagaannya perlu ditentukan berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta proses undang-undang yang berkaitan.

“Segala persoalan mengenai kesahihan proklamasi, pematuhan tata cara, dan kesan perlembagaannya hendaklah ditentukan menurut Undang-Undang Tubuh tersebut serta proses undang-undang yang berkenaan.

“Kami menghormati apa-apa perintah mahkamah yang berkuat kuasa,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan membantah keras tindakan Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan yang didakwa mempertikaikan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dengan menyifatkannya sebagai satu langkah biadab dan tidak bertamadun.

Must Watch Video

Advertisement