Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] RCI Tabung Haji: Bekas menteri direman lima hari

Putrajaya , 2 September 2026.Seorang bekas menteri tiba di Mahkamah Majistret bagi mendapatkan kebenaran reman berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu pelaburan pajakan hotel Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah dan Madinah.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Bekas menteri itu ditahan SPRM kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH), berkaitan pelaburan pajakan hotel di Mekah dan Madinah.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 6 September ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, peguamnya Datuk Hamidi Mohd Moh ketika ditemui media memaklumkan anak guamnya itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, dilaporkan seorang individu bergelar Datuk Seri itu yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dan bergari, tiba kira-kira 10.25 pagi diiringi pegawai SPRM.

Beliau ditahan SPRM kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Difahamkan, individu berusia 60-an itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan hotel di Arab Saudi yang didakwa menjadi antara kerugian terbesar dalam senarai pelaburan bermasalah yang dihadapi TH.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan individu berkenaan.

Sebelum ini, bekas Pengerusi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan turut ditahan SPRM susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Kedua-dua individu bergelar Datuk Seri dan Tan Sri itu ditahan reman bermula 27 Ogos lalu dan tempoh reman mereka berakhir semalam.

SPRM juga sebelum ini menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berkaitan RCI TH,

Ini termasuk seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Laporan RCI TH didedahkan pada 29 Julai lalu mengemukakan 25 syor utama bagi memperkukuh aspek ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.

Antara syor utama laporan itu ialah melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik dalam pengurusan institusi berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement