JELEBU: Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan sedia disiasat semula sekiranya kerajaan mahu berbuat demikian meskipun laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak membuktikan wujudnya sebarang tindakan 'menyakau' wang pendeposit.
Beliau bagaimanapun turut mempersoalkan motif pengumuman isu RCI berkenaan yang dibuat secara bertubi-tubi dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang sedang berlangsung.
Menurut Abdul Azeez, laporan RCI setebal 204 muka surat itu sebenarnya telah disiapkan sejak penghujung tahun 2022 di bawah kepengerusian bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Raus Sharif, namun ia tidak diterbitkan lebih awal.
"Saya tidak tahu kenapa tiga tahun lapan bulan benda tu tidak dikeluarkan... yang tahu hanya Perdana Menteri. Dalam RCI itu jelas menyatakan boleh diterbitkan kepada umum.
"Kalau betul saya 'sakau', tahun 2018 lagi Tun Dr Mahathir dah penjarakan saya… saya ditahan 14 malam di lokap, disiasat habis-habisan termasuk audit forensik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) DUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Taman Simpang Pertang pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abdul Azeez mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Tan Sri Azam Baki pada tahun 2021 telah mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan tiada salah guna kuasa atau penyelewengan dikesan sepanjang tempoh beliau menerajui Tabung Haji.
Malah, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Baling memaklumkan pihak polis juga telah memanggilnya sebanyak 11 kali bagi membantu siasatan forensik sebelum ini.
"Dua minggu lepas saya tanya pihak polis, mereka kata fail ini sudah dikemas untuk disimpan dan hanya menunggu arahan No Further Action (NFA).
"Jadi kalau nak siasat balik, silakan. Saya orang pertama akan bagi kerjasama yang padu dan jitu, kalau saya curi, saya tanggung. Tapi jangan ulang ayat 'sakau' demi kepentingan politik," katanya lagi.
Beliau turut memperincikan bahawa selaku pengerusi bukan eksekutif ketika itu, beliau tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan sebarang transaksi atau pelaburan secara bersendirian.
Jelasnya, setiap kertas kerja perlu melalui panel pelaburan dan bahagian pengurusan risiko terlebih dahulu sebelum dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.
Kelulusan akhir pula tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Azeez meminta pihak pentadbiran sedia ada untuk tidak menafikan merit dan rekod pencapaian UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah menguruskan Tabung Haji sejak tahun 1963.
"Janganlah menteri sekarang nak membodek bos (PM) mendakwa zaman mereka yang paling hebat. Sepanjang 15 tahun berturut-turut, termasuk tujuh tahun sewaktu saya di sana, Tabung Haji diiktiraf sebagai pengurusan haji terbaik di dunia.
"Kita berjaya hantar lebih 1.4 juta rakyat Malaysia menunaikan haji dengan sistem kebajikan dan kesihatan yang tiada tandingan. Mereka sekarang hanya memperkasakan dan menahan tiang yang sedia ada, jangan pula menidakkan sumbangan kami sebelum ini," katanya.
Beliau merayu kepada seluruh rakyat dan pendeposit agar meneliti dan menelaah sendiri laporan RCI tersebut secara objektif serta tidak terperangkap dalam kancah persepsi politik kepartian.