KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah wang hasil kutipan penalti berjumlah RM72,000, membabitkan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Putrajaya.
Nasahruddin Ahmad, 56, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
THP Bina Sdn Bhd ialah syarikat anak syarikat milik penuh TH Properties Sdn Bhd (yang merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Haji), berfokus dalam bidang pembinaan dan pengurusan projek.
Nasahruddin sebagai Pengurus Keselamatan dan Kesihatan syarikat itu yang diamanahkan wang hasil kutipan penalti ke atas kontraktor iaitu syarikat Fourth Wave Sdn Bhd berjumlah RM72,000, didakwa melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaunnya.
Wang hasil kutipan penalti itu membabitkan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Presint 3 Wilayah Persekutuan, Putrajaya di atas PT 12081: Blok A -10 tingkat pejabat, Blok B – sembilan tingkat pejabat, Auditorium dan tiga tingkat tempat letak kereta di aras bawah tanah; PT 12075: Blok C – tujuh tingkat pejabat dan dua tingkat tempat letak kereta di aras bawah tanah; PT 12074 : Blok D – sembilan tingkat pejabat dan dua tingkat tempat letak kereta di aras bawah tanah untuk Tetuan THP Bina Sdn Bhd.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3, Putrajaya antara 26 April 2013 hingga 12 Ogos 2015, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Rosli membenarkan Nasahruddin diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin atas semua tiga pertuduhan, berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 5 Okt, untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras berkata kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan.
“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM70,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.
“Pihak pendakwaan turut mencadangkan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu atau menghubungi mana-mana saksi yang berkemungkinan terlibat dalam kes berkenaan,” katanya.