WASHINGTON: Seramai 227 orang terbunuh dalam 68 serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap bot yang disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah di Lautan Pasifik dan Caribbean sepanjang tempoh setahun, menurut tentera AS, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sebanyak 68 serangan dilancarkan di bawah Operasi Southern Spear yang kini genap setahun dilaksanakan, kata jurucakap Pemerintah Selatan Amerika Syarikat (SOUTHCOM) yang bertanggungjawab terhadap rantau berkenaan.
Beliau berkata tiga individu yang disyaki penyeludup dadah berjaya diselamatkan dalam keadaan hidup.
Jabatan Pertahanan AS melancarkan Operasi Southern Spear atas arahan Presiden Donald Trump dalam usaha membendung penyeludupan dadah di sepanjang benua Amerika.
Seorang pegawai kerajaan AS pada Selasa berkata penyeludupan dadah di Caribbean menurun sehingga 65 peratus hasil operasi berkenaan. Bagaimanapun, angka itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Sejak operasi itu bermula, SOUTHCOM berulang kali mengumumkan kematian individu yang disyaki penyeludup dadah, selain kerap mengeluarkan rakaman serangan yang membawa maut.
Bagaimanapun, lokasi sebenar serangan dan asas perundangan yang digunakan sebahagian besarnya masih tidak jelas.
Pengkritik turut mempersoalkan sama ada serangan yang dilancarkan di perairan antarabangsa dibenarkan menurut undang-undang antarabangsa.
AS pada tahun lalu turut menggunakan usaha memerangi penyeludupan dadah sebagai alasan bagi menempatkan sejumlah besar aset ketenteraannya di luar pesisir Venezuela, meskipun negara itu dianggap sebagai laluan transit dan bukannya pusat pengeluaran, khususnya bagi dadah yang menuju ke pasaran Eropah.
Tidak lama selepas itu, pasukan AS menawan pemimpin Venezuela yang telah lama berkuasa, Nicolás Maduro.
-- BERNAMA-dpa