Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] 'Tidak sah, bercanggah perlembagaan' - MB pertahan barisan Exco Negeri Sembilan

SEREMBAN, 17 Sept - Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim (tengah) menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media pada majlis penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ismail menegaskan, beliau tidak pernah dirujuk atau menasihati berhubung pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri di bawah Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar adalah tidak sah, tidak berperlembagaan, serta tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan, beliau tidak pernah dirujuk atau menasihati berhubung pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri di bawah Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Justeru, beliau menegaskan tiada sebarang keperluan untuk mengemukakan senarai cadangan Exco yang baharu kerana barisan Exco sedia ada masih sah dari sudut undang-undang dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

“Berdasarkan Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran.

“Kuasa budi bicara Raja di bawah Perkara 40(2) pula hanya merangkumi perkara yang dinyatakan secara bertulis sahaja, dan kuasa untuk memberhentikan Exco secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kuasa Raja di bawah Perkara 38(5) berkaitan tempoh perjawatan Exco wajib dibaca secara harmoni bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1). 

Ini bermakna sebarang penamatan atau perubahan barisan Exco hanya berkuat kuasa atas nasihat rasmi Menteri Besar.

Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa terpelihara berlandaskan lunas undang-undang.

Lewat tengah malam tadi, media melaporkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Exco berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
 

Must Watch Video

Advertisement