KUCHING: "Terus dan lengkapkan projek pembekalan solar hibrid di sekolah-sekolah di Sarawak."

Itu rayu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam satu majlis di Kuching pada Khamis.

Menurutnya, tidak wajar hak yang sewajarnya dinikmati masyarakat luar bandar Sarawak tergadai oleh kerana isu seperti ini.

"Saya melihat kes tersebut timbul daripada kontrak yang berlaku di negeri Sarawak yang kosnya lebih daripada RM1 billion.

"Saya kurang pasti sama ada projek tersebut sudah berjalan sepenuhnya atau dilaksana sepenuhnya. Tetapi sekiranya ia belum tamat lagi, harapan kita adalah untuk projek itu dijalankan kerana niat asal projek itu adalah untuk membekal lampu-lampu elektrik kepada sekolah-sekolah di kawasan pedalaman," katanya.

Untuk rekod, kes rasuah yang mensabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah berkaitan projek rundingan terus pembekalan solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak yang bernilai lebih RM1 billion.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kes rasuah solar: Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta

"Tiada siapa di negara ini yang imun atau kebal daripada undang-undang.

"Jika mahkamah mendapati seseorang individu itu bersalah, beliau perlu menjalani hukuman, selaras dengan prinsip 'rule of law," tegas Abdul Karim merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, yang memutuskan Rosmah bersalah dalam tiga pertuduhan yang dihadapinya.

"Ini menunjukkan bahawa di Malaysia the rule of law is in practice. Tidak memilih sesiapa seseorang itu walaupun beliau adalah seorang Perdana Menteri ataupun bekas Perdana Menteri. Ataupun bekas First Lady.

"Itu tidak bermaksud you are immune from the law. From the long harm of the law. If it in an offence it is an offence," katanya..

Tegasnya lagi, keputusan mahkamah tersebut seharusnya membuka mata penjawat awam di negara ini agar sentiasa menyemai dan menerapkan nilai integriti dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanah.

Abdul Karim ditemui media selepas merasmikan sambutan kuih bulan antara budaya di Kuching.