KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan memulakan Kursus Asas Haji (KAH) bagi musim haji 1448H/2027M bermula 25 September sebagai langkah awal memperkukuh persediaan bakal haji daripada aspek ilmu dan kefahaman berkaitan ibadah haji.
TH dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, KAH merupakan antara program bimbingan haji yang memberi penekanan kepada penguasaan ilmu asas ibadah haji dan umrah, selain menyediakan panduan praktikal bagi membantu bakal jemaah membuat persediaan awal dari segi ibadah, kesihatan dan pengurusan diri sebelum berangkat ke Tanah Suci.
"Bagi musim haji 1448H/2027M, kursus berkenaan akan dilaksanakan menerusi 12 siri pengajian di 200 buah masjid seluruh negara bagi memudahkan bakal jemaah dan orang ramai mengikuti bimbingan haji berhampiran tempat tinggal masing-masing.", menurut kenyataan itu.
Menurut TH, kursus itu turut dibuka kepada orang awam yang ingin mendalami ilmu berkaitan ibadah haji.
TH menggalakkan semua bakal haji musim 1448H/2027M mengikuti kursus berkenaan secara konsisten kerana KAH menjadi asas kepada dua program lanjutan iaitu Kursus Intensif Haji (KIH) dan Kursus Perdana Haji (KPH).
“Persediaan menunaikan haji bukan sahaja melibatkan aspek kewangan dan kesihatan, malah memerlukan kefahaman ilmu yang mencukupi bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna,” menurut kenyataan itu.
Bakal haji boleh mendapatkan jadual serta maklumat lanjut mengenai KAH menerusi aplikasi THiJARI, laman web rasmi TH atau di pejabat TH berhampiran.
Selain itu, bahan pembelajaran turut boleh diakses secara dalam talian melalui platform e-Bimbingan Haji TH.
Dalam masa sama, TH mengingatkan bakal jemaah supaya membuat persediaan menyeluruh berdasarkan konsep istito’ah, termasuk menjaga kesihatan dan kecergasan, meningkatkan simpanan secara konsisten serta memastikan maklumat peribadi sentiasa dikemas kini.
TH turut menasihatkan bakal haji supaya sentiasa mengikuti saluran rasmi agensi itu bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan urusan dan persediaan musim haji 1448H/2027M.