KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu kepada umum serta menegaskan komitmennya untuk melaksanakan sepenuhnya syor-syor yang dikemukakan.
Dalam kenyataan hari ini, TH memaklumkan syor-syor RCI adalah berkaitan dengan perkara yang berlaku sebelum 2018.
Jelasnya, sejak itu institusi berkenaan telah mengambil pelbagai langkah pembaharuan bagi memperkukuh tadbir urus serta prestasinya.
"TH telah melaksanakan 75 peratus daripada syor RCI bagi meningkatkan tadbir urus dan kesejahteraan institusi ini. Selebihnya kini sedang dalam proses pelaksanaan," kata TH.
TH turut memaklumkan bahawa institusi itu telah berjaya memulihkan kedudukan kunci kira-kiranya, membina rizab kewangan serta meningkatkan kadar agihan keuntungan kepada 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Selain itu, TH berkata pihaknya turut berjaya mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 seorang bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.
Menurut kenyataan itu, TH akan terus komited melindungi kepentingan pendeposit, mengukuhkan keyakinan awam serta memastikan institusi berkenaan beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju agar laporan RCI mengenai TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 akan didedahkan hari ini kepada umum, dan dibuat pengelasan semula.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH serta memperhalusi kandungan laporan berkenaan dalam mesyuarat hari ini.