Skip to main content

Malaysia

TH terus cipta kecemerlangan, raih Anugerah Labaytum Diamond tahun kedua berturut-turut

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Hasan menunjukkan Anugerah Labaytum Diamond yang dimenangi Lembaga Tabung Haji buat kali kedua berturut-turut pada musim haji 1447H/2026M. - Foto TH
Zulkifli (dua, kanan) menunjukkan Anugerah Labaytum Diamond yang dimenangi Lembaga Tabung Haji buat kali kedua berturut-turut pada musim haji 1447H/2026M ini. - Foto TH

MEKAH: Malaysia terus mengukuhkan reputasinya sebagai penanda aras pengurusan haji dunia apabila Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya mengekalkan Anugerah Labaytum Diamond buat kali kedua pada musim haji 1447H/2026M.

Ia merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada institusi pengurusan haji terbaik dunia.

TH pada masa sama turut mempertahankan Anugerah Labaytum buat kali kelima berturut-turut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Hasan berkata, pengiktirafan berprestij itu merupakan bukti kejayaan keseluruhan pengurusan musim haji tahun ini.

Beliau berkata, kejayaan tersebut tidak terlepas daripada komitmen tinggi TH bersama seluruh petugas termasuk pasukan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia dan petugas kebajikan yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

“Kita ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan TH dan semua petugas yang telah menunjukkan mutu perkhidmatan yang diiktiraf dunia sebagai antara yang terbaik,” katanya.

Menurut beliau, antara kekuatan utama pengurusan haji Malaysia adalah pendekatan holistik yang menggabungkan kaedah konvensional dan teknologi moden termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta aplikasi digital bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Image
Anugerah Labaytum Diamond yang dimenangi Lembaga Tabung Haji buat kali kedua berturut-turut. Foto TH
Anugerah Labaytum Diamond yang dimenangi Lembaga Tabung Haji buat kali kedua berturut-turut. Foto TH

“TH bukan sahaja menggunakan pendekatan tradisional, tetapi juga mengintegrasikan teknologi seperti AI dan aplikasi digital termasuk e-TAIB yang membantu menjawab pertanyaan jemaah secara masa nyata,” jelasnya.

Tambah beliau, inisiatif seperti Green Hajj dan kempen kebersihan turut diperkenalkan bagi menyokong usaha kelestarian sepanjang musim haji.

Dalam aspek kesihatan, Zulkifli memaklumkan tahap kesihatan jemaah haji Malaysia tahun ini berada dalam keadaan baik hasil persediaan rapi sejak awal.

Mengulas mengenai Anugerah Labaytum, Zulkifli berkata pengiktirafan kategori Diamond itu merupakan pencapaian tertinggi dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

“Ini adalah bukti bahawa negara kita mampu memberikan yang terbaik. Anugerah ini adalah hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya pendeposit Tabung Haji, umat Islam dan para jemaah haji,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi serta Kementerian Haji dan Umrah atas kerjasama erat yang memudahkan pengurusan jemaah Malaysia.

Image
[INSERT]_Tabung Haji_astro awani

Dalam pada itu, beliau menegaskan Tabung Haji akan terus melakukan penambahbaikan berterusan melalui proses penilaian menyeluruh selepas setiap musim haji.

“Seperti amalan kita, setiap tahun selepas haji kita akan lakukan post-mortem, menilai semua maklum balas dan penambahbaikan. Ini adalah antara formula kejayaan Tabung Haji untuk terus kekal sebagai yang terbaik,” katanya.

Kejayaan berterusan Malaysia dalam pengurusan haji bukan sahaja mencerminkan kecekapan sistem sedia ada, malah memperkukuh reputasi negara sebagai model rujukan utama dalam pengurusan jemaah haji di peringkat global.

Must Watch Video

Advertisement