Skip to main content

Malaysia

Thailand komited perluas kesalinghubungan untuk rancak dagangan serantau - Anutin 

BUKIT KAYU HITAM, 10 Julai -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Jajaran Jalan Baharu Menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anutin menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Jajaran Jalan Baharu Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao, Thailand, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

BUKIT KAYU HITAM: Thailand komited untuk menyambungkan semua laluan yang belum bersambung bagi memastikan pergerakan orang ramai dan barangan dari Malaysia ke utara Thailand serta seterusnya ke China dan Rusia dapat dilakukan dalam tempoh paling singkat.

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata komitmen itu adalah sebahagian daripada usaha Thailand untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau serta mengoptimumkan potensi ekonomi antara kedua-dua negara menerusi rangkaian laluan darat dan laut. 

“Laluan baharu yang menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah ialah hasil usaha bersama kedua-dua kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan dan Pengoperasian Laluan Baharu, yang menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan Kompleks CIQ Sadao di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Anutin dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kesalinghubungan itu juga akan memberikan manfaat kepada kedua-dua negara, membolehkan barangan dari Thailand dan China melalui Malaysia menuju ke Singapura dan Indonesia dengan lebih cekap.

"Itu rangkaian kesalinghubungan antara kedua-dua negara, dan itulah komitmen yang kerajaan saya dapat berikan kepada anda (Malaysia)," katanya.

Anutin berkata laluan baharu itu akan memudah cara perjalanan rentas sempadan dan pergerakan barangan, di samping mengurangkan kesesakan di pintu sempadan, yang merupakan laluan paling sibuk di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata kedua-dua negara turut membincangkan inisiatif kesalinghubungan seterusnya  melibatkan Songkhla-Kedah, Satun-Perlis dan Narathiwat-Kelantan bagi membuka potensi ekonomi di selatan Thailand dan utara Malaysia.

"Kesalinghubungan yang lebih baik akan membuka sepenuhnya potensi wilayah selatan Thailand dan utara Malaysia.

“Seiring kemajuan projek kesalinghubungan, kita juga akan memperkukuh kerjasama untuk merancakkan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk yang tinggal di sepanjang sempadan (kedua-dua negara)," katanya.

Anutin turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas sokongan dan kerjasama erat dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Beliau berkata kedua-dua kerajaan komited untuk menyelesaikan isu-isu yang masih tertangguh, termasuk prosedur di sempadan serta memudah cara pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Terdahulu, Anwar yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyambut ketibaan Anutin dan isterinya, Thananon Charnvirakul ke majlis berkenaan yang diadakan di sempadan Malaysia-Thailand.

Anutin tiba di Malaysia semalam bagi mengadakan lawatan rasmi dua hari atas undangan  Anwar.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement