Skip to main content

Malaysia

Thailand, Malaysia perkukuh kerjasama industri pertahanan

malaysiathai
Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerima kunjungan Adul sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik ke jawatan tersebut, 14 Julai 2026. - Foto Kementerian Pertahanan Thailand
Advertisement

BANGKOK: Thailand dan Malaysia yang berhasrat untuk mengukuhkan ekosistem pertahanan serantau sedang mempertingkatkan usaha membangunkan industri pertahanan mereka secara bersama menerusi pemindahan teknologi, integrasi rantaian bekalan dan kolaborasi industri.

Jurucakap Kerajaan Ratchada Thanadirek berkata komitmen itu ditekankan semasa lawatan rasmi Menteri Pertahanan Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen ke Malaysia pada 13 dan 14 Julai lepas, menyaksikan kedua-dua pihak berbincang mengenai perluasan kerjasama dalam pembuatan dan teknologi pertahanan.

Ratchada berkata kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama sedia ada di bawah program kenderaan perisai beroda “First Win” serta meneroka kerjasama penyelenggaraan pesawat bersama syarikat Malaysia, AIROD Sdn Bhd. 

"Inisiatif ini dijangka meningkatkan keupayaan pengeluar pertahanan Thailand, memudah cara pemindahan teknologi serta meluaskan akses ke pasaran antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kerjasama ini juga dijangka melengkapi usaha domestik Thailand untuk memperkukuh industri pertahanannya, meluaskan jalinan industri serantau dan mewujudkan peluang baharu bagi pembangunan teknologi pertahanan termaju.

Ratchada berkata Thailand dan Malaysia turut bersetuju supaya Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan dapat ditandatangani semasa Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Thailand-Malaysia lewat tahun ini.

Beliau berkata MoU berkenaan akan menyediakan rangka kerja jangka panjang bagi kerjasama dalam penyelidikan pertahanan, pembangunan teknologi dan kolaborasi industri antara kedua-dua negara.

Menurut Ratchada, inisiatif bilateral itu menyokong dasar Perdana Menteri Anutin Charnvirakul untuk membangunkan Thailand menjadi pengeluar dan pembangun teknologi pertahanan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada peralatan diimport.

"Kerajaan menggalakkan angkatan tentera memberi keutamaan kepada produk pertahanan buatan Thailand  seiring dengan dasar perolehan ofset dan keperluan kandungan tempatan bagi memperkukuh keupayaan domestik serta mempromosikan pemindahan teknologi," katanya.

Ratchada berkata dasar itu semakin mendapat sambutan susulan kejayaan penganjuran THAIDEF-EX 2026, yang menarik lebih 4,000 pengunjung, menampilkan 112 pameran syarikat Thailand dan menjana sekurang-kurangnya 500 juta baht (kira-kira US$14.86 juta) dalam nilai perniagaan menerusi 53 perkongsian padanan perniagaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement