Transparency International-Malaysia (TI-M) mengalu-alukan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewujudkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sendiri bagi memantau situasi rasuah di negara ini.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar bagaimanapun berkata, CPI berkenaan perlu ada kredibiliti dan keseimbangan dengan melakukan perbandingan yang dibuat dengan negara-negara lain.

"Tak salah jika kita hendak buat CPI sendiri tetapi untuk mendapat keseimbangan dan lebih kredibiliti, kita perlu ada perbandingan. Maknanya CPI itu perlu lebih baik jika kita membandingkan dan menggunakan kajian itu dengan negara-negara lain.

"Ini bermakna kita membuat CPI untuk negara ini sahaja selain mendapat kepercayaan yang lebih dan ada perbandingan dengan negara lain," katanya semasa ditemu bual Astro AWANI di pejabatnya di ibu negara.

Antara negara perbandingan yang sesuai adalah seperti negara jiran Singapura, Thailand, dan Brunei.

"Perbandingan dengan negara-negara lain akan memberi impak yang lebih baik kepada kajian ini," ujarnya.

Beliau juga melihat CPI yang dibuat Malaysia memerlukan pandangan pakar dan orang ramai dengan memberi fokus kepada realiti berbanding persepsi.

"Cuma yang saya takut iaitu persepsi itu mengatasi realiti. Jadi lebih baik jika diadakan satu CPI sendiri dengan syarat ia membuat perbandingan antara negara-negara lain," katanya lagi.

Bagaimanapun beliau turut berpendapat CPI yang dijalankan hasil kajian Transparency International di Berlin, Jerman diiktiraf peringkat antarabangsa dan tiada indeks lain yang mengukur rasuah untuk satu dunia.

Dalam pada itu katanya, prestasi CPI bukan hanya bersandarkan kepada tangkapan tetapi ia juga bergantung kepada pendakwaan dan usaha dilakukan agensi penguat kuasa serta kerajaan.

"Ia meliputi banyak aspek, cuma masalahnya, kita hendaklah memastikan supaya rakyat mempunyai keyakinan kepada pemerintah. Itu merupakan perkara yang dibincangkan masyarakat," tambahnya.

Kedudukan Malaysia dalam capaian CPI 2017 turun kepada kedudukan ke-62 daripada 180 buah negara berbanding 55 pada 2016.

Menurut indeks yang dikeluarkan Transparency International (TI), ukuran skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 47 berbanding 49 pada tahun lalu.

Hasil keputusan berkenaan turut mengejutkan SPRM dan sekali gus, Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mencadangkan kerajaan mewujudkan CPI tersendiri iaitu indeks rasuah milik negara yang dilihat dari kaca mata rakyat Malaysia.