IPOH: Tiada sebarang aduan atau laporan diterima melibatkan pemotongan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) oleh pihak sekolah sejak ia diagihkan di seluruh negara bermula 10 Jan lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah maklumkan kepada pihak sekolah supaya bantuan sebanyak RM150 bagi seorang pelajar diterima oleh ibu bapa atau murid kerana ia bertujuan meringankan persiapan persekolahan.

"Sebelum ini, KPM (Kementerian Pendidikan) pernah menerima aduan bahawa ada sedikit penolakan daripada BAP yang telah dikenakan atas alasan pembayaran yuran dan sebagainya. Ia memang berlaku.

"Namun untuk tahun ini, tiada aduan yang diterima dan kita telah berikan mesej jelas kepada semua sekolah supaya bantuan berjumlah RM150 bagi seorang pelajar itu mesti sampai kepada ibu bapa atau murid tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Negeri Perak 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yuk Choy di sini hari ini.

Terdahulu, Wong turut menyerahkan BAP berjumlah RM48.8 juta kepada Pengarah Pendidikan Perak Datuk Muhamad Fauzi Mahson untuk disalurkan kepada 325,162 murid di 1,104 sekolah di negeri itu.

Wong turut berharap penyaluran BAP itu berjalan lancar sehingga tarikh akhir proses berkenaan iaitu pada 10 Feb ini.

Pada 16 Okt tahun lepas, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak RM788 juta diperuntukkan melalui BAP yang memberi manfaat kepada 5.25 juta murid di seluruh negara.

Bantuan yang diberikan secara sekali bayar itu disalurkan melalui sekolah dengan diagihkan kepada setiap ibu bapa murid secara tunai atau dikredit ke akaun masing-masing.

-- BERNAMA