IPOH: Khairy Jamaluddin mengesahkan beliau akan memberi keterangan mengenai isu berkaitan aplikasi MySejahtera kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 14 April ini.

Menurut Menteri Kesihatan itu, beliau tiada masalah untuk berbuat demikian selepas membentangkan usul mengenainya di Dewan Negara pada 31 Mac lalu.

“Bagi saya tak ada masalah, bentang (di) Dewan Negara (atau) di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sebab kita tak ada apa-apa nak sembunyi pun… kita bentang saja.

“Itu lah sebab bila saya dipanggil oleh Dewan Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, saya pergi, sebab saya nak bagi keyakinan kepada orang ramai bahawa saya tidak ada apa-apa nak sembunyi.

“Sebab bagi saya aplikasi ini penting, kita guna untuk (kawal penularan) COVID-19. Kita guna untuk vaksinasi serasi,” katanya ketika ditemui di sini, selepas melakukan lawatan kerja ke negeri Perak pada Selasa.

Beliau dalam masa sama mengulangi jaminan bahawa data orang ramai dalam MySejahtera dimiliki oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan selamat sementara pelayan (server) pula berpangkalan di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, buat masa ini, Malaysia akan terus kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka walaupun beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat tidak lagi menggunakannya.

Menurut Khairy, ini adalah kerana kebanyakan pakar kesihatan mengakui bahawa pemakaian pelitup muka adalah antara perlindungan terbaik daripada dijangkiti wabak COVID-19.