Kerajaan tidak bercadang untuk mengecilkan saiz penjawat awam daripada 1.62 juta sekarang, kerana mereka adalah tulang belakang negara.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saiz itu akan ditambah di samping pemberian pelbagai lagi insentif.

Menurut Perdana Menteri, segala kejayaan yang dinikmati hari ini, adalah usaha bersama, khususnya dokongan sokongan dan terjemahan pelaksanaan daripada penjawat awam.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan akan terus menguruskan ekonomi dengan cekap dan berkesan kerana yakin dengan sokongan penjawat awam, Malaysia akan terus maju mencapai aspirasi menjadi 20 negara terbaik di dunia.

Menurutnya, walaupun pelbagai penghinaan dilemparkan oleh pembangkang terhadap penjawat awam, namun kerajaan tetap mempertahankan mereka dengan pemberian pelbagai insentif.

“Insya Allah kita akan bagi lebih lagi akan datang. Jika ekonomi kita berkembang, saya hendak penjawat awam di dalam negara kita akan mengecapi kualiti hidup yang lebih baik lagi.

“Inilah harapan dan impian saya untuk membela semua penjawat awam di dalam negara kita sebab tuan-tuanlah merupakan pendokong dan tiang seri kerajaan hari ini,” katanya ketika berucap pada program Pasca Bajet 2018 bersama penjawat awam Kolej Sains Perubatan Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan dekat sini, hari ini.

Lebih 5,000 penjawat awam dari seluruh negeri Perak hadir bersama-sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Perdana Menteri berkata, tanpa kerjasama penjawat awam, tidak mungkin kerajaan dapat menjayakan hasrat mentransformasikan negara daripada sebuah negara ekonomi RM1.3 trilion kepada ekonomi RM2 trilion menjelang tahun 2025 atau mungkin lebih awal pada 2022.

Menurut beliau, Malaysia turut mencapai pelbagai kejayaan dan pencapaian, seperti pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus tahun lalu, antara yang terbaik di dunia, di samping jumlah eksport bulanan melebihi RM80 bilion, sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Di samping itu, beliau yakin nilai matawang ringgit negara juga dijangka naik kepada RM3.80 berbanding dolar Amerika Syarikat dalam masa terdekat, berbanding RM4.49 beberapa bulan lalu.