PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi tidak menyediakan dana khas untuk mendapatkan sebarang hak eksklusif penganjuran konsert artis antarabangsa.

Sebaliknya Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya berperanan memudahkan proses permohonan penganjuran konsert di bawah Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

"Kebanyakan acara ini adalah antara syarikat swasta yang menandatangani kontrak perjanjian untuk membawa masuk hak eksklusif bagi penganjuran acara tersebut," katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia di sini pada Selasa.

Menurut beliau, sekiranya proses permohonan itu dapat dipermudah, ia akan menjadi satu daya tarikan kepada penganjur.

"Pada waktu ini kita terima aduan iaitu mengambil masa yang lama untuk pengesahan dan kebenaran

"Jadi saya akan lihat dalam bidang kuasa kementerian bagaimana boleh untuk mengurangkan tempoh masa itu," katanya.

Terdahulu media melaporkan Singapura memperuntukkan AS$2 juta hingga AS$3 juta atau bersamaan RM9.56 juta hingga RM14.34 juta untuk mendapatkan hak esksklusif penganjuran konsert Taylor Swift’s The Eras Tour.

Langkah itu bagi merancakkan ekonomi dan industri tempatan negara tersebut.

Konsert berkenaan dijadual berlangsung pada 2 hingga 9 Mac depan dengan kapasiti 55,000 tempat duduk Stadium Nasional Singapura habis terjual. - Sinar Harian