MALAYSIA
Tiada elemen jenayah, salah guna kuasa dikesan dalam projek MyKiosk - KPKT

KPKT memperuntukkan RM50 juta bagi MyKiosk 1.0 dan RM100 juta bagi MyKiosk 2.0. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan tiada sebarang elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan dalam pelaksanaan Program MyKiosk, berdasarkan hasil siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ringkasan AI
- SPRM mengesahkan tiada elemen jenayah atau salah guna kuasa dalam pelaksanaan Program MyKiosk, sebaliknya mencadangkan penambahbaikan dari aspek tadbir urus.
- KPKT memperuntukkan RM50 juta bagi MyKiosk 1.0 dan RM100 juta bagi MyKiosk 2.0, dengan kadar pengisian unit masing-masing mencapai 94.39 peratus dan 89.07 peratus.
- Model MyKiosk baharu dilengkapi spesifikasi tambahan seperti panel solar 100 watt, sistem kalis air dan kipas, dengan sistem pemantauan berasaskan kaedah Traffic Light diperkenalkan mulai 2025 untuk menilai prestasi PBT.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu hasil siasatan SPRM terhadap tatakelola pengurusan inisiatif MyKiosk serta soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Senator Husin Ismail yang menyentuh pelaksanaan MyKiosk.
Menurut Aiman Athirah, pada 2023, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan MyKiosk 1.0 melibatkan 3,189 unit kios dengan kos RM48.18 juta manakala bagi 2024 pula, RM100 juta diperuntukkan untuk MyKiosk 2.0 melibatkan pembinaan 4,054 unit kios bernilai RM98.75 juta.
"Hingga kini, kadar pengisian unit untuk MyKiosk 1.0 mencapai 94.39 peratus manakala MyKiosk 2.0 berada pada tahap 89.07 peratus. Baki unit yang belum diisi, faktor seperti kesesuaian lokasi, kekurangan infrastruktur asas dan keadaan tapak yang belum siap dikenal pasti sebagai punca utama," katanya.
Justeru, beliau berkata satu pasukan petugas dalaman telah ditubuhkan bagi meneliti lokasi dan mempercepat pengisian, selain lawatan pemantauan bersepadu dan sesi libat urus bersama.
Bagi mempertingkatkan pelaksanaan MyKiosk, Aiman Atirah berkata KPKT turut memperkenalkan sistem pemantauan berasaskan kaedah Traffic Light bermula pada 2025 untuk menilai prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pemberian markah penuh sebagai satu bentuk galakan.
Beliau berkata kos siling bagi satu unit MyKiosk 1.0 ialah RM15,000 manakala bagi MyKiosk 2.0 pula berjumlah RM25,000 seunit dengan penambahan spesifikasi baharu.
Selain itu, KPKT juga membenarkan PBT membuat penempatan semula kios ke lokasi yang lebih strategik di kawasan tumpuan awam sekiranya perlu, memandangkan MyKiosk direka bentuk mudah alih dan boleh disesuaikan mengikut keperluan setempat.
Menjawab soalan tambahan Abdul Halim mengenai perbezaan antara MyKiosk versi lama dengan yang baharu, Aiman Athirah berkata model terkini dilengkapi dengan panel solar 100 watt berbanding 50 watt sebelum ini, dinding powdercoated, kipas, sistem kalis air tahan cuaca, serta pertambahan sudut keluasan.
Kos pertambahan model terkini sejajar dengan peningkatan spesifikasi, katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami