BALING:Tidak ada sebarang aktiviti yang berkait rapat dengan fahaman atau ajaran "Islam Melayu" yang dipercayai dibawa oleh individu dikenali sebagai 'Ibu Yati' dikesan berlaku di negeri Kedah.

Mufti Negeri Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang menegaskan bahawa umat Islam di negeri itu terutamanya harus berpegang teguh kepada ajaran Islam berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak terpengaruh dengan fahaman seumpama itu.

Beliau turut berharap agar masyarakat memahami perkara asas iaitu tidak ada kewujudan agama Melayu atau rasul Melayu selain tidak terpesong dengan beberapa dakwaan yang tidak mengikut landas syariat.

Tambahnya, pemantauan secara berterusan juga akan dijalankan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Kedah bagi memastikan tidak wujud sebarang aktiviti berkaitan pelanggaran akidah berlaku di negeri itu.

Laporan Khas AWANI: Jahil atau Kesesatan Terpilih?

"Apa yang saya tahu di negeri Kedah ini masih belum sampai lagi. Sebenarnya perkara itu adalah terlalu asas bahawa tidak ada lagi yang dinamakan sebagai agama Melayu, rasul Melayu dan sebagainya, sangat asas bahawa nabi kita Muhammad sebagai rasul terakhir, kita harap masyarakat kita tidak mudah terpengaruh dengan ajaran semacam itu," katanya.

Sheikh Fadzil berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis serahan sumbangan telefon pintar kepada anak-anak masyarakat Suku Kensiu oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kampung Lubok Legong, pada Ahad.

BACA: [EKSKLUSIF] Kes Ibu Yati: Kedangkalan cara berfikir dan keupayaan memahami asas pengetahuan - Dr Maza

Pada Jumaat, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh menyatakan pihaknya sentiasa terbuka untuk memberikan kefahaman berhubung ajaran Islam berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada seluruh masyarakat negara ini.

Menurutnya, ianya termasuk memberi kefahaman kepada mereka yang terlibat dalam ajaran 'Agama Melayu' yang dipercayai dibawa oleh individu dikenali sebagai 'Ibu Yati'.

Sebelum ini, Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hadsan dilaporkan menasihatkan agar orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa individu dikenali sebagai Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias yang turut didakwanya menggunakan lafaz syahadah yang pelik.

Nasrudin turut dilaporkan berkata pihaknya tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada Ibu Yati susulan laporan polis yang dibuat wanita itu yang memberi Nasrudin tempoh tujuh hari untuk mengemukakan permohonan maaf kepadanya atas dakwaan yang dibuat Yadim.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Wan Noorhayati ketika ditemui mendakwa, tiada isu pelanggaran akidah atau kewujudan ajaran agama baharu seperti yang diperkatakan, sebaliknya apa yang dikongsikannya adalah mengenai sejarah Melayu yang dilupakan.