KOTA BHARU: Polis Kelantan menjelaskan tiada had bagi permohonan untuk mendapatkan permit menjual mercun dan bunga api di negeri itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata setiap permohonan, yang dibuat untuk mendapatkan kelulusan permit mestilah berdasarkan tempat simpanan dan berapa jumlah dipohon.

Beliau berkata setakat ini Polis Kelantan sudah menerima permohonan daripada peniaga di seluruh negeri, tetapi permit hanya akan diluluskan dalam tempoh dua minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Kita memang sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan kesemua ketua polis daerah (KPD) diarahkan supaya membuat pemantauan.

"Buat masa sekarang kesemua permohonan kini masih dalam proses," katanya.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata tahun ini tahun pertama negara bebas daripada pandemik COVID-19 dan sudah pasti ramai peniaga yang memohon permit untuk menjual mercun dan bunga api.

Beliau berkata polis sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan secara berterusan, bagi memastikan keadaan terus selamat kepada umum.

"Saya sendiri baru sahaja kembali daripada mesyuarat sempadan dari negara jiran dan kita akan memperkemaskan lagi kawalan pada musim perayaan, khususnya bagi mengekang kemasukan dadah serta senjata api.

"Kita tahu setiap kali musim perayaan sudah pasti adanya perancangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, namun polis sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan," katanya.

Terdahulu Muhamad Zaki turut menyantuni orang ramai dengan membahagikan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya, di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.

-- BERNAMA