KUALA LUMPUR: Tiada halangan mana-mana individu mempunyai kaitan dengan parti politik untuk menyertai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Demikian jelas Pesuruhjayanya, Ragunath Kesavan ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Nazira Abdul Rahim sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM yang dikaitkan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ujarnya, mengikut Subseksyen 5 (3) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 2009, tidak menghalang sesiapa mengamal atau aktif dalam parti politik untuk menyertai badan itu.

"Di bawah Akta Suhakam Subseksyen 5 (3) 2009, tiada halangan sesiapa mengamal atau aktif dengan politik, tiada requirement (syarat) mengatakan anda tidak boleh memasuki mana-mana (parti) politik.

"Tidak seperti Majlis Peguam yang secara terang melarang, di mana tidak boleh ahlinya menyertai mana-mana parti politik.

"Tetapi Akta Suhakam, tidak menghalang dan saya perlu katakan saya kenal mereka berdua sudah lama, mereka sebelum ini dari Majlis Peguam dan aktif dengan aktiviti, serta mereka peguam yang bagus," jelasnya pada sidang media maya oleh Suhakam pada Rabu.

Tambahnya, Suhakam perlu terbuka menerima mana-mana individu yang ingin menyertai badan itu demi menjalankan tugasan membela hak asasi manusia di negara ini.

"Jadi saya tidak rasa ini satu isu terhadap seorang yang telah berkhidmat di parti politik dilarang untuk menjalankan kerja hak asasi manusia.

"Saya rasa kita perlu terbuka kepada semua, malah kita ada pelbagai kumpulan dalam komuti, ia mengukuhkan segala kerja kerja di akar umbi

"Memudahkan akses terutama kerajaan dan agensi di bawahnya, jadi bagi kami melihat ia satu perkara yang positif," katanya lagi.

Awal Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan pelantikan lapan anggota yang baharu SUHAKAM bagi sesi 2022 sehingga 2025.

Anggota baharu itu ialah Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad sebagai Pengerusi SUHAKAM, (Pensyarah undang-undang UKM) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, (bekas ketua Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, (bekas peguam negara Sabah) Dr Chew Chee Ming, (peguam) Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah), (peguam) Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, (peguam) Nazira Abdul Rahim dan (bekas presiden Majlis Peguam) Ragunath Kesavan.

Bagaimanapun pelantikan itu mendapat pelbagai kritikan beberapa pihak yang menzahirkan rasa kurang yakin akan anggota baharu dalam menegakka prinsip hak asasi manusia dibawah badan itu.

Mengulas lanjut, tambah Ragunath, proses pemilihan dan pelantikan adalah melalui jawatankuasa pemilihan oleh pihak kerajaan.

"Ada jawatankuasa pemilihan sebelum lantikan ini dibuat, malah kita datang ke sini bukan kemahuan kita tetapi lantikan yang diberi.

"Kita tidak mempunyai isu lain, sebaliknya hanya mahu melakukan kerja berkaitan hak kemanusiaan yang diamanahkan kepada kita," ujarnya lagi.