KUALA LUMPUR: Tiada kementerian atau agensi kerajaan mengeluarkan arahan sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsurkan sentimen politik, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi menerusi hantaran di akaun X (Twitter) beliau hari ini memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membuat semakan dengan semua syarikat telekomunikasi berhubung perkara itu.

"Majlis Belia Malaysia (MBM) juga telah mengeluarkan penafian dan mengesahkan hantaran tersebut bukan bersumberkan pihak MBM," menurut hantaran itu.

Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid menerusi kenyataan media hari ini juga berkata sumber hantaran SMS bersifat provokatif dan menghasut itu bukan daripada pihak MBM atau mana-mana pertubuhan belia yang bergabung di bawah MBM.

"MBM akan mengambil tindakan lanjut dan satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang salah guna nama yang mengaitkan pihak MBM dengan keadaan yang tidak bertanggungjawab.

"MBM menyeru kepada semua parti politik yang bertanding agar sentiasa berkempen secara matang dan sihat serta mengelakkan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang negara," katanya.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial X hari ini meminta penjelasan Fahmi mengenai penyebaran SMS berbaur sentimen politik yang menggunakan nama 'Belia Malaysia'.

-- BERNAMA