Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkukuhkan survelan COVID-19 dalam kalangan pesakit dengan diagnosa 'severe acute respiratory infection' (SARI) dan 'influenza-like illness (ILI) bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke China atau kontak dengan kes positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga Selasa, sebanyak 122 sampel telah diuji, iaitu 77 dalam kalangan SARI dan 45 kes ILI, dan sehingga kini tiada kes SARI atau ILI yang dikesan positif jangkitan COVID-19.

Katanya sehingga Selasa juga, seramai 1,548 individu yang terdiri daripada pesakit dalam siasatan (PUI), kontak kepada kes positif COVID-19 dan individu yang tiba dari Misi Bantuan Kemanusiaan telah diambil sampel bagi pengesanan jangkitan COVID-19

"Daripada jumlah ini, sebanyak 22 kes disahkan positif COVID-19 iaitu 12 daripada kalangan PUI, lapan daripada kontak langsung dengan kes disahkan positif COVID-19 dan dua kes lagi adalah dalam kalangan Misi Bantuan Kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Katanya kes COVID-19 terakhir yang dilaporkan di Malaysia adalah pada 15 Feb lepas dengan 20 daripada 22 kes telah pulih sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang manakala dua kes lagi masih dirawat di wad dan dalam keadaan stabil.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata pada Selasa, Jawatankuasa Kerja Bersama Singapura-Malaysia bagi COVID-19 telah pertama kalinya bermesyuarat bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam pelaksanaan aktiviti pencegahan dan kawalan COVID-19, berikutan hasil sesi persidangan video Malaysia-Singapura yang telah diadakan pada 11 Feb 2020.

"Antara perkara yang dipersetujui adalah perkongsian maklumat mengenai pengurusan klinikal pesakit melibatkan pakar-pakar perubatan dari kedua-dua negara bagi memastikan hasil perawatan yang optimum diberikan kepada pesakit COVID-19," katanya.

Selain itu, kedua pihak bersetuju memperkukuhkan 'tapisan masuk' di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) darat Malaysia-Singapura, yang berfungsi sebagai saringan rentas sempadan bersama di samping berkongsi dan menyelaras protokol saringan kesihatan di PMA darat kedua-dua negara.

"Malaysia dan Singapura akan saling berkongsi nasihat kesihatan serta mesej awam yang diguna pakai untuk hebahan kepada masyarakat masing-masing serta mengaktifkan rangkaian Bilateral Field Epidemiology Training Network (FETN) Malaysia-Singapura bagi perkongsian data survelan dan hasil analisanya," jelasnya.

-- BERNAMA