Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin menyatakan tiada kesan brek ditemukan di lokasi kemalangan sebuah bas pekerja yang terjunam ke dalam longkang besar berhampiran kawasan MASKargo, Sepang, dekat sini malam tadi.

Beliau berkata tempat kejadian itu iaitu di S8 Jalan Pekeliling Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merupakan sebuah jalan simpang tiga namun pihaknya masih menyiasat punca sebenar bagaimana bas berkenaan boleh terjatuh ke dalam longkang berkenaan.

"Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan brek di lokasi kejadian. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk memastikan jika pemandu bas itu ada mengambil dadah atau mengantuk ketika kemalangan itu berlaku.

"Perkembangan kes kemalangan ini kita akan 'kemas kini' dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.10 malam tadi, 11 orang dengan hampir kesemuanya warga asing maut selepas bas pekerja yang mereka naiki jatuh ke dalam longkang besar berkedalaman keseluruhan 20 meter.

Turut maut dalam kemalangan berkenaan adalah pemandu bas tersebut iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 43 tahun.

Siasatan awal polis mendapati bas pekerja yang membawa 43 penumpang iaitu pekerja kontrak MASKargo itu dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan dan sepatutnya memulakan giliran kerja pada 12 tengah malam tadi.