KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang bersubahat melindungi golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dikenakan tindakan tegas.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, hukuman yang berat menanti mana-mana individu, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan majikan yang didapati melindungi golongan itu dan mengambil mereka bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah. 

Ujarnya, mereka boleh dikenakan hukuman yang berat seperti yang tertakluk di bawah akta dan peraturan imigresen tanpa kompromi.

"Jabatan ini (Imigresen) ingin menjelaskan bahawa melindungi PATI adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak melebihi RM50,000.

"Sekiranya individu atau organisasi berkenaan melindungi lebih daripada lima orang PATI, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara  tidak kurang daripada enam bulan tetapi tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali," kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, sejak tahun 2019 sehingga 2021, seramai 979 orang individu telah dikenakan tindakan kerana melindungi PATI.

"Majikan yang menggaji PATI pula boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diambil.

"Jika bilangan pekerja PATI berkenaan melebihi lima orang, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi  enam kali sebatan," jelas beliau.

Oleh yang demikian, tambah Khairul Dzaimee lagi, majikan atau individu yang mengambil PATI untuk bekerja dikehendaki segera mendaftarkan mereka dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atau Rekalibrasi Pulang yang telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

"Setakat 22 Julai 2021, seramai 155,124 orang PATI telah berdaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 102,592 orang PATI telah mendaftar dalam program Rekalibrasi Pulang.

"PATI yang telah berdaftar dalam program berkenaan akan dipertimbangkan untuk diberi vaksin COVID-19 bersama warga asing lain yang tinggal di Malaysia," ujar beliau.