Tiada kompromi pelanggaran amanah dalam ATM - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman, di Putrajaya, pada Khamis. - Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang bentuk pengkhianatan amanah, penyalahgunaan kuasa serta rasuah tidak akan diberi ruang kerana ia boleh menjejaskan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Penegasan itu dibuat ketika beliau menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman, di sini, pada Khamis.
Menurut Anwar, keyakinan rakyat terhadap ATM tidak boleh dibina hanya melalui slogan atau retorik, sebaliknya mesti diperkukuh melalui amalan profesionalisme, akauntabiliti dan integriti serta dilaksanakan secara konsisten di semua peringkat pentadbiran dan operasi.
“Dalam mendepani cabaran semasa termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah, pendirian kerajaan adalah jelas iaitu tiada toleransi terhadap pelanggaran amanah.
"Justeru, ketelusan, kejujuran serta keberanian untuk membersihkan kelemahan amat diperlukan demi mempertahankan maruah ATM,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus menyokong usaha Tentera Darat bagi memastikan pasukan itu kekal berwibawa, profesional dan dihormati.
Selain itu, kebajikan pegawai, anggota, keluarga mereka serta para veteran akan terus diberi perhatian yang sewajarnya.
ATM sebelum ini terpalit dengan skandal kewangan apabila bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, didakwa di mahkamah baru-baru ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


