MALAYSIA
Tiada kompromi terhadap individu menyalahi akta kanak-kanak - Rina

Rina berkata Kementerian menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbukti melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak. - Foto BERNAMA
SEPANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pihaknya memandang serius penularan klip video yang menunjukkan seorang guru tadika melakukan kekerasan ke atas anak muridnya.
"Kementerian menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbukti melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan dan Penubuhan PAWE (Pusat Aktiviti Warga Emas) Baharu Zon Tengah 2021, di sini, hari ini.
Rina berkata beliau juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung isu itu memandangkan tadbir urus tadika terletak di bawah KPM.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib semalam dilaporkan berkata polis telah menerima laporan isu itu yang dibuat oleh ibu mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001. Guru tersebut telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada polis.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami