Tiada lagi kes mahkamah antara Petronas dan kerajaan Sarawak - Timbalan Menteri

Petronas dan kerajaan negeri Sarawak sepakat menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung kutipan cukai jualan negeri (SST) bagi produk petroleum.

Tiada lagi kes mahkamah melibatkan Kerajaan Sarawak dan Petronas. | Astro Awani
Tiada lagi kes mahkamah melibatkan Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, ia susulan keputusan kedua-dua pihak yang sepakat menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung kes berkenaan.

Katanya, ini bermakna syarikat petroleum negara itu bersetuju untuk membayar cukai jualan negeri (SST) lima peritus bagi produk petroleum kepada Sarawak.

"Dengan ini keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan dengan penarikan balik rayuan. Ini bermakna Petronas tidak boleh mempersoalkan kuasa Sarawak untuk mengenakan SST ke atas produk petroleum," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengenai status kes-kes mahkamah berkenaan tuntutan yang dibuat Sarawak terhadap Petronas.

Untuk rekod Petronas pada 3 ogos lepas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dalam semakan kehakiman isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai SST.
Dalam masa yang sama , Kerajaan Sarawak, juga menarik balik rayuan balas berhubung isu sama.

Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azhahari Kamal Ramli, berkata peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan dikuatkuasakan oleh undang-undang negeri disifatkan sebagai antara perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya adalah berperlembagaan dan sah.

Beliau menolak permohonan semakan kehakiman oleh Petronas untuk membatalkan notis penilaian dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak memohon syarikat itu membayar SST berjumlah RM1.3 bilion.