MALAYSIA
Tiada lagi pendakwaan, warga asing 'overstay' kurang 90 hari dikenakan kompaun - Saifuddin

Saifuddin menyampaikan sumbangan Sekolah Angkat MADANI kepada Guru Besar SK Telor Teduri, Siti Mariam Othman pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI JIM di SK Rambong Pulai di sini hari ini. - Bernama
BALING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan tindakan kompaun ke atas warga asing yang tinggal lebih masa tidak melebihi 90 hari di negara ini, berkuat kuasa serta-merta.
Ringkasan AI
- JIM mula mengenakan kompaun terhadap warga asing yang tinggal lebih masa tidak melebihi 90 hari, bagi mempercepatkan proses undang-undang tanpa perlu siasatan dan pendakwaan di mahkamah.
- Kadar kompaun ditetapkan mengikut tempoh tinggal lebih masa.
- Langkah ini dijangka mempercepatkan proses penghantaran pulang, mengurangkan kesesakan di depoh tahanan dan memberi peluang kepada warga asing yang mempunyai alasan munasabah; setakat 30 Ogos, 35,225 pendatang tanpa izin ditahan dan 36,557 telah dihantar pulang.
"Tapi ada kategori yang kita kenakan kompaun, iaitu mereka yang tidak tinggal di negara ini melebihi 90 hari," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI JIM di Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata bagi warga asing yang tinggal lebih masa antara satu hingga 30 hari, kompaun yang dikenakan ialah RM30 sehari sehingga maksimum RM900.
Sementara bagi yang tinggal lebih masa antara 31 hari hingga 60 hari, kompaun terus secara automatik sebanyak RM1,000 dikenakan, manakala bagi tinggal lebih masa antara 61 hari hingga 90 hari kompaun yang dikenakan ialah RM2,000.
"Tetapi kalau terlebih tinggal di negara ini melebihi 90 hari atau misalnya sembilan tahun, kesalahan itu kita akan buka kertas siasatan," katanya.
Saifuddin Nasution berkata langkah mengenakan kompaun itu, diyakini dapat mempercepatkan proses tindakan undang-undang kepada hanya satu hari berbanding sebelum ini yang memakan masa sehingga 14 hari.
Beliau berkata ia juga akan mempercepat proses penghantaran pulang warga asing yang terlibat, sekali gus mengurangkan kesesakan di depoh tahanan JIM seluruh negara, selain memberi peluang kepada warga asing tinggal lebih masa kerana disebabkan oleh alasan munasabah.
Sementara itu Saifudin Nasution berkata sebanyak 35,225 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen di seluruh negara pada tahun ini, setakat 30 Ogos.
Beliau berkata tangkapan itu, hasil daripada 9,500 operasi yang dijalankan JIM membabitkan pemeriksaan terhadap 152,000 warga asing di seluruh negara.
"Sementara itu, sebanyak 36,557 warga asing sudah dihantar pulang ke negara asal setakat 28 Ogos, ini tidak termasuk tangkapan baharu 35,225 orang pada tahun ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata polis masih menjalankan siasatan menyeluruh berhubung seorang lelaki rakyat Malaysia yang dilaporkan ditahan bersama dua laras senjata api jenis M16 dan 450 butir peluru di Thailand, baru-baru ini.
"Saya telah diberi taklimat lengkap oleh polis tentang status isu ini, kerana tangkapan itu dibuat di Thailand, maka pihak Thailand akan menjalankan siasatan dan menjadi kebiasaan pihak Thailand akan maklumkan juga kepada kita.
"Kita juga telah buat pemprofilan (terhadap suspek), berdasarkan kepada siasatan awal, ia tidak terkait dengan elemen sindiket atau pun jenayah-jenayah yang kita anggap sebagai satu kumpulan besar dan terancang," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami