ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah hari ini menafikan telah mengeluarkan sebarang lesen atau kelulusan baharu untuk aktiviti pengkuarian, pengeluaran pasir darat dan pembalakan di Hutan Simpan Gunung Raya (HSGR), di Langkawi.

Pejabat Menteri Besar Kedah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan yang pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas, dan menegaskan bahawa perkara itu tidak berlaku.

"HSGR adalah hutan simpan dengan 18 kompartmen yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), dengan keluasan 4,930 hektar di bawah AKta Perhutanan Negara pada 15 Mac 1941.

"Berdasarkan rekod, beberapa kelulusan pengkuarian (lesen kecil) telah dikeluarkan Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi (JKTHB), dan telah melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sejak beberapa tahun lalu.

"Terdapat lima lokasi di kawasan HSGR yang diberikan kelulusan iaitu melibatkan keluasan asal lebih 140 hektar bagi tujuan mengeluarkan serbuk batu, pasir darat dan juga batu granit dengan setakat ini satu lokasi sahaja yang sedang beroperasi, menurut kerajaan negeri dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu memaklumkan terdapat salinan surat daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bertarikh 9 Mei 2021, mengenai kelulusan untuk mengeluarkan saki baki kayu di Kompartmen 11 HSGR kepada anak syarikat Yayasan Islan Negeri Kedah (YIKED), iaitu Yiked Holdings Sdn.Bhd yang sedang tular di media sosial.

"Ini telah menimbulkan kebimbangan kepada sebilangan masyarakat kononnya terdapat lesen dan kelulusan baharu, yang telah diberikan untuk aktiviti pembalakan atau apa-apa aktiviti yang berkenaan. Surat itu adalah sekadar pemakluman bahawa JKTHB melalui mesyuarat bertarikh 23 April 2020, telah memutuskan semua kawasan pengkuarian batu dan pasir yang diluluskan hanya 19 hektar sahaja," katanya.

"Dengan penjelasan ini, diharapkan tiada lagi pihak yang berasa bimbang atau curiga mengenai kemungkinan akan ada kelulusan baharu dikeluarkan oleh Kerajaan negeri Kedah kepada mana-mana pihak untuk menjalankan sebarang aktiviti di hutan simpan berkenaan.

"Kerajaan negeri dibawah pimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sentiasa meletakkan komitmen yang tinggi dalam memelihara kelestarian alam sekitar di seluruh Kedah," katanya.

-- BERNAMA