KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah pengunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 telah melebihi 100 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend kemasukan pesakit COVID-19 di ICU menunjukkan peningkatan sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-17 dan ke-21 iaitu masing-masing antara 25 April hingga 1 Mei dan 23 Mei hingga 29 Mei.

Jelas beliau, trend yang sama dilihat berterusan terutama bagi tempoh dua minggu seterusnya iaitu pada 6 Jun hingga 12 Jun lalu.

"Walaupun terdapat penurunan kes baharu harian bagi tempoh dua minggu lockdown iaitu mulai 1 Jun, kes-kes COVID-19 di ICU masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.

"Hal ini berikutan kemunculan varian-varian baharu yang mengakibatkan kes-kes dikesan dengan gejala serius (kategori 4 dan 5) dan merosot pada kadar yang lebih cepat.

"Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity).

"Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU," demikian katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata penggunaan katil yang melebihi kapasiti juga disebabkan oleh keperluan tempoh pemulihan yang lama bagi pesakit-pesakit ICU untuk sembuh disebabkan oleh komplikasi jangkitan COVID-19 yang serius.

Secara purata, tempoh rawatan di ICU bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan di ICU adalah di antara 19 hari ke 26 hari, tambahnya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata beberapa persiapan dan langkah-langkah telah dilakukan oleh KKM termasuk menambah kapasiti katil-katil bagi iaitu sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit COVID-19.

Selain itu, penggunaan katil repurpose bed turut dinaik taraf di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19.