MALAYSIA
Tiada rekod masuk, dua lelaki warga asing ditahan ketika cuba tinggalkan Malaysia

AKPS memaklumkan kedua-dua lelaki itu, masing-masing warganegara India dan China ditahan sekitar 5 petang ketika melalui pemeriksaan imigresen. - Astro AWANI
SEPANG: Dua lelaki warga asing gagal meninggalkan Malaysia apabila mereka ditahan di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 petang semalam, selepas didapati tidak mempunyai rekod kemasukan rasmi.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 40-an, masing-masing warganegara India dan China ditahan sekitar 5 petang ketika melalui pemeriksaan imigresen.
Kenyataan itu menyebut pegawai bertugas mengesyaki sesuatu apabila mendapati cap keselamatan pada pasport mereka mencurigakan dan semakan lanjut melalui Sistem MyIMMs mengesahkan tiada rekod pergerakan keluar atau masuk ditemukan bagi kedua-dua individu berkenaan.
"Ironinya, cap pada pasport mereka menunjukkan kemasukan dibuat melalui pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Kompleks ICQS Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang, Johor."Susulan penemuan itu, kedua-dua mereka ditahan kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63," menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan kedua-dua lelaki itu kini ditempatkan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
Kenyataan itu memaklumkan AKPS KLIA sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dalang yang terlibat dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersekongkol.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami