PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk tidak menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi beliau, Seri Perdana, tahun ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, beliau hanya akan menghadiri majlis sedemikian yang dianjurkan di peringkat negeri atau kementerian.

“Saya putuskan untuk sambutan Aidilfitri tidak buat majlis besar-besaran di Seri Perdana tahun ini.

“Saya akan ikut beberapa sambutan di negeri-negeri, oleh kementerian-kementerian sepertimana sambutan Ramadan.

“Ada kementerian terajui (majlis Aidilfitri) saya hadir, tidak menokok belanja kalau buat besar-besaran di Seri Perdana,” kata Anwar semasa berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengingatkan agensi kerajaan supaya lebih berhemat dan menganjurkan majlis hari raya dalam skala sederhana.

"Sila jangan berlumba-lumba untuk menganjurkan majlis yang lebih besar dan mewah. Itu bukan duit anda pun," tegas Perdana Menteri lagi.