PORT DICKSON: Tiada sebarang perbincangan dalam Pakatan Harapan (PH) berhubung cadangan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata pandangan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkenaan cadangan itu adalah bersifat peribadi, dan pihaknya menjelaskan PKR tidak pernah memberikan idea itu.

"Itu pandangan peribadi beliau, ia belum pun diangkat...kami dalam parti tidak melontarkan idea seperti itu, kerana terlalu banyak implikasi.

"Terlalu awal dan tidak berbangkit sama sekali peringkat sekarang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta menyampaikan sumbangan peringkat Parlimen Port Dickson di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Idris mencadangkan agar PH dan PN bekerjasama pada PRU15 kerana agak sukar untuk PH mendapatkan sokongan, sekiranya memilih bergerak sendirian tanpa kerjasama parti lain.

-- BERNAMA